Cara Mengira Waktu Subur Wanita Dengan Tepat
Tubuh wanita
sangat unik kerana setiap wanita ada kitaran waktu datang haidnya
sendiri. Artikel ini bertujuan untuk membantu para pembaca untuk
memahami dengan mudah tentang cara mengira waktu subur dengan tepat
memandangkan kitaran haid wanita ini adalah topik yang ‘taboo’ dan
memerlukan pemahaman yang jelas.
Secara normal, kaum
hawa akan datang bulan secara purata lebih kurang dalam tempoh 28
sehingga 30 hari setiap bulan. Namun, ada yang kadang-kadang 25 hari.
Ada yang lambat sehingga hari yang ke 35. Ianya adalah sesuatu yang
kompleks tetapi tak perlu risau, anda boleh membuat anggaran sebenarnya
jika faham kitaran sendiri.
Kenapa Kita Perlu Tahu Cara Mengira Waktu Subur?
Kebiasaannya, ada 2 sebab utama untuk kita tahu cara kira waktu subur:
- Untuk mengira dengan tepat tempoh bagi mudah untuk hamil.
- Untuk perancangan keluarga bagi mengelakkan daripada mengandung.
Sangat penting sebenarnya. Ramai yang
mengambil remeh tips menghitung tempoh subur ini kerana menganggap
ianya tak perlu. Jika anda yang sangat kepingin untuk mendapatkan zuriat
atau jika anda sedang membuat perancangan keluarga, Nah! Anda perlu
tahu cara pengiraannya supaya objektif utama tercapai.
Hanya Anda Yang Paling Pakar Tentang Kitaran Haid Sendiri
Tiada manusia yang lebih memahami
tentang tubuh anda selain dari diri anda sendiri. Anda perlu menjadi
pakar untuk memahami sepenuhnya kitaran haid sendiri.
Kebiasaannya, fasa kitaran haid ini terbahagi kepada beberapa fasa yang utama.
Fasa Pertama: Hari Pertama Hingga Ke 4
Fasa ini dikenali sebagai
menstruation atau keluar haid. Ketika inilah haid mengalir keluar. Anda
perlu mencatat tarikh hari pertama datang bulan di kalendar iaitu tarikh
fasa ini bermula dan bila tarikh tamat haid kering. Sekiranya anda
merancang untuk hamil, disarankan untuk membuat catatan pada setiap
bulan. Ini penting untuk menganggar kitaran period anda berapa hari
setiap bulan dan adakah haid anda teratur.
Fasa Kedua: Hari Ke 5 Hingga Ke 13
Fasa ini juga dikenali sebagai ‘follicular phase‘.
Pada ketika ini, hormon estrogen seorang wanita akan meningkat dan
darah akan membentuk lapisan tebal di dinding rahim. Manakala, telur
yang berada di sekitar ovari pula akan mencapai tempoh matang. Ini
adalah tempoh persediaan untuk kehamilan.
Fasa Ke Tiga: Hari Ke 14
Pada masa ini proses ovulasi akan terjadi. Peningkatan hormon ‘Luteinizing’
akan merangsang telur untuk keluar dari ovari dan menanti untuk
disenyawakan dengan sperma. Sekiranya sperma yang dinanti tak kunjung
tiba, bermakna proses persenyawaan tak berlaku maka ia akan terus
melalui tiub fallopio ke rahim seorang wanita.
Fasa Ke Empat: Hari Ke 15 Hingga 28
Fasa luteal ini adalah satu fasa di mana sejenis hormon yang dikenali sebagai hormon ‘progestrone’ akan
dirembes keluar dari sarangnya iaitu corpus luteum. Rembesan hormon ini
akan menyebabkan lapisan dinding uterus semakin menebal. Sekiranya
tiada persenyawaan berlaku, maka lapisan dinding rahim yang tebal ini
akan runtuh dan proses kitaran akan berulang kembali seperti di Fasa 1.
Bilakah Waktu Subur Wanita Itu?
Setelah kita benar-benar mengerti
tentang kitaran haid seorang wanita, maka sebenarnya waktu subur wanita
itu adalah pada hari ovulasi itu terjadi atau semasa fasa ke3 bermula
kerana telur telah dirangsang keluar dari sarangnya. Jika mahu dihitung
dengan tepat, tempohnya adalah lebih kurang 14 hari daripada hari
pertama kita didatangi haid pada kitaran seterusnya atau bulan
berikutnya.
Misalnya, jika tempoh haid kita adalah 28 hari, justeru waktu subur adalah:28 hari – 14 hari = 14 hari. Hari ke 14 adalah waktu paling subur.
Jika tempoh haid bulan tersebut adalah 30 hari:
30 hari – 14 hari = 16 hari. Hari ke 16 adalah waktu subur.
Jika tempoh haid bulan tersebut adalah 33 hari:
33 hari – 14 hari = 19 hari. Hari ke 19 adalah waktu subur wanita.
Biasanya, fasa ke 3
atau fasa luteal ini adalah tepat 14 hari selepas proses ovulasi
berlaku. Justeru, hari subur ialah 14 hari sebelum hari pertama datang
bulan pada kitaran seterusnya. Jika anda mempunyai kitaran haid yang
teratur, sangat mudah untuk membuat kiraan. Biasanya, individu yang
mengalami kitaran haid yang tak teratur ini yang sukar untuk membuat
anggaran.
Kesimpulannya, jika
anda ingin hamil. Pastikan anda ‘bersama’ dengan suami setiap malam atau
siang pada hari ke 11, 12, 13,14, 15 atau 16. Ini sekiranya anda
mempunyai kitaran haid 28 hari. Manakala sekiranya anda ingin membuat
perancangan keluarga dan tak mahu hamil dalam waktu terdekat dengan cara
semulajadi, anda boleh elakkan untuk bersama suami pada hari-hari yang
disebutkan tadi.